Saturday, March 29, 2008

Bila wanita menjaga aurat

Posted by: "permaisuri lebah" ayuna_294@yahoo.com ayuna_294
Thu Mar 27, 2008 10:25 pm (PDT)
Bila wanita menjaga auratBila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat. Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya. Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.Selamat beramal..(buat diri sendiri dan juga sahabat-sahabat sekalian)

Thursday, March 27, 2008

Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti

Saifulislam.com - 12 hours 53 min ago

Saya bukan bapa mithali.
Saya bapa realiti. Realiti yang ada buruk dan ada baiknya.
Sebab itu saya rimas apabila catatan-catatan kekeluargaan saya dibaca secara tidak realistik. Seolah-olah semuanya terlalu ideal, cantik, kemas dan mithali belaka.
“Habis, semua cerita anta berakhir dengan good ending belaka!”, kata kawan saya yang setia mendengar keluhan.
“Itulah silapnya!”, saya menjawab lesu.
Silapnya kerana beberapa peristiwa yang saya catatkan, dianggap sebagai mewakili keseluruhan hidup saya. Seolah-olah semuanya betul, mengikut skrip, tepat belaka, mithali semuanya. Semacam tiada yang negatif.
“Tentu sahaja tidak mudah untuk menulis sesuatu yang negatif, bukan?”, tanya teman saya itu lagi.
“Sebenarnya, jika kita percaya Qadha’ dan Qadar Allah, maka akhirnya tiada yang negatif kerana setiap satu kejadian, datang dengan hikmah dan pelajaran”, saya menjawab perlahan.
Asalkan kita mahu belajar.
Dan berfikiran positif.
KERENAH ANAK-ANAK
“Lelaki itu 9 rasional 1 emosi, perempuan pula 9 emosi 1 rasional”
Hari demi hari, saya semakin dapat melihat mengapa di dalam sebuah perkahwinan, suami dan isteri serta ayah dan ibu itu saling melengkapkan, andai kedua-duanya akur dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Mungkin Allah SWT mengurniakan saya dan isteri suatu kemudahan apabila anak sulung kami Muhammad Saiful Islam lahir tanpa banyak kepayahan. Saiful Islam tidak banyak ragam. Betapa mudahnya saya dan isteri menjaganya, hingga saya boleh berkhutbah Jumaat dengan lancar dengan hanya meletakkan Saiful Islam di tepi sejadah di masjid.
Susahnya kami ketika itu banyak pada hal-hal yang lain. Saya ditimpa sakit hingga berbulan terlantar di rumah, kehidupan kami yang berpindah randah kerana kerja Ummu Saif yang bertukar lokasi setiap 6 bulan, dan pelbagai lagi ujian lain yang gerun untuk dikenang.
Tetapi segala kepayahan hidup itu tidak berganda dengan masalah anak yang seorang ini. Hadirnya jadi penyejuk hati dan mata.
ANAK KEDUA
Kami pulang ke Malaysia pada Julai 2004, ketika Ummu Saif sarat mengandungkan anak kedua kami.
Naurah Sabihah lahir dalam keadaan hidup kami yang tidak menentu. Semasa Ummu Saif di dalam pantang, saya berulang antara Ipoh dan Kuala Lumpur kerana bonda saya yang sakit di hospital. Saya dan Ummu Saif masih belum mendapat pekerjaan dan kami hidup berbekalkan sedikit simpanan wang yang dibawa pulang. Setiap Kuliah Maghrib yang saya isi adalah suntikan survival kami.
Berbeza dengan Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah menjadi ujian yang amat berat bagi saya.
Entah kenapa, semenjak bayi Naurah Sabihah semacam tidak serasi dengan saya. Naurah kuat menangis. Bukan calang-calang menangis. Setakat jiran selang satu dua rumah memang mudah mendengar dengan jelas.
Di peringkat awal, tanpa sedar saya seperti menyalahkan semua orang kerana terlalu memerapkan Naurah. Sikit-sikit dukung, sikit-sikit dukung. Hingga akhirnya Naurah hampir tidak boleh diletakkan melainkan dengan tangisan.
Ketika itu, apabila Ummu Saif oncall, malam-malam yang saya lalui bersama Yop dan adik kecilnya Naurah jadi seperti ‘neraka dunia’. Naurah akan menangis sekuat hati hingga saya hilang kewarasan. Dua tahun pertama Naurah, saya hidup dalam kemurungan.
Mata merah, sakit kepala dan sering tertidur di dalam kelas juga pejabat, saya berada di dalam keadaan tertekan.
“I have the feeling to run away… away and away!“, saya menghantar sms kepada abang saya ketika jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.
Ummu Saif di hospital kerana oncall, dan Naurah terus menangis semenjak Maghrib. Bukan sekali dua tetapi hampir setiap masa khususnya apabila Ummu Saif tiada. Setelah dukung dan tepuk tidak menjadi, doa dan zikir tenggelam, akhirnya saya mengalah. Naurah, saya biarkan sahaja terus menangis dan saya menyandarkan diri ke dinding hingga terlelap membawa ke subuh.
Kuatnya Naurah menangis, menyebabkan saya sentiasa menolak pelawaan orang ke kenduri atau apa-apa majlis yang dihadiri orang ramai. Tangisannya bukan rengekan tetapi jeritan sekuat hati yang berlarutan sepanjang masa hingga saya pernah menangis ketika dipeluk oleh saudara mara saya yang kasihan melihat saya yang hidup tidak tentu arah ketika itu.
Mana mungkin saya mahu menyalahkan sesiapa. Ia adalah kelakuan fitrah anak-anak yang penuh warna warni. Ada putih dan ada hitamnya. Sebagai ibu bapa, saya atau sesiapa sahaja terima dengan penuh kesabaran.
Sebab itu saya berasa sangat baran apabila ada kanak-kanak yang menangis tidak tentu hala, orang sekeliling pula menjeling-jelingkan mata. Bodohkah manusia seperti itu yang tidak faham kepada kerenah kanak-kanak? Saya akui, tangisan anak-anak adalah perkara terakhir yang kita mahu dengar, tetapi lebih baik untuk kita berlapang dada, dan paling kurang pun, sekadar membatukan diri.
Saya itulah yang sering membatukan diri.
BAHAYA KEMURUNGAN
Biar pun saya berasa bahawa diri ini gagal berdepan dengan dua tahun pertama kelahiran Naurah Sabihah, saya bersyukur kerana saya terpelihara dari melakukan apa-apa yang tidak wajar. Saya tidak terkejut apabila mendengar berita ada ibu atau bapa yang ‘mencederakan’ anak semata-mata kerana tangisannya yang mengiringi keletihan badan dan fikiran selepas penat bekerja.
Sesungguhnya ketika saya berdepan dengan saat-saat yang kritikal, apa yang mengawal saya hanyalah ingatan kepada Allah secara konsisten, dan kekuatan emosi untuk mengawal diri. Masakan mahu dicubit, dipukul ditampar si anak kecil yang sedang meraung itu! Naudhubillah!
Biar pun rasional akal dan emosi perasaan seakan menjadi buta akibat tekanan jiwa, kekuatan spiritual itu jugalah yang menjadi pelampung yang menyelamatkan. Malah mungkin pada masa-masa tertentu, tindakan terbaik yang mampu dibuat ialah menjauhkan diri secara fizikal daripada si anak yang sedang meraung.
Semasa ibu baru bersalin, emosinya juga tidak menentu. Malah kemurungan selepas bersalin (Post Natal Depression - PND) boleh menyebabkan si ibu mencederakan hatta membunuh anak yang baru dilahirkannya. Mungkin ini yang diistilahkan oleh orang Melayu sebagai ‘gila meroyan’. Dalam keadaan yang seperti ini, seorang bapa amat perlu memainkan peranan untuk bersabar dan bertindak waras. Perlu sekurang-kurangnya beliau memegang si anak kecil dan menjauhkannya dari si ibu buat seketika.
Namun hal yang sama juga boleh berlaku kepada bapa, si lelaki yang 9 rasional dan 1 emosi itu. Saya bersyukur kerana Ummu Saif mengambil langkah yang sama dengan menjauhkan Naurah Sabihah daripada saya untuk beberapa ketika, semata-mata untuk membolehkan saya kembali merasionalkan diri yang tertekan.
Dua tahun itu telah berlalu, tetapi ia sulit untuk dikenang.
Akibat tekanan dan kemurungan yang menyelubungi saya sekeluarga ketika Naurah masih kecil, amat sedikit fotonya yang diambil berbanding Saiful Islam dan kini Imaduddin.
Saya bukan bapa mithali, tetapi bapa yang masih bertatih menguruskan realiti.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

4 Sebab mengapa Tuanku sangat murka Idris!

Posted on Monday, March 24 @ 17:58:44 MYT by greenboc






Oleh ipacat

Oleh kerana Idris Jusoh dan kuncu-kuncunya sudah terlalu biadap dan derhaka pada Sultan, maka disini diperturunkan sebahagian sebab musabab mengapa Tuanku sangat murka kepadanya. Maklumat ini diperolehi dari sumber yang sangat rapat dengan pihak Istana Terengganu!

Tuanku SANGAT MURKA kerana :

1) Idris Jusoh memasukkan duit royalti minyak sebanyak RM800 juta ke dalam akaunnya. Duit itu diuruskan oleh Wan Farid, Wan Hisham & Khairy Jamaluddin!
2) Projek Monsoon Cup adalah silap mata sahaja. Ia untuk Idris dan puak-puaknya mengaut duit dengan sebanyak-banyaknya!
3) Sebelum PRU-12, Idris telah menjual seluas 30,000 ekar tanah pada tauke cina dengan mengambil jutaan duit lagi untuk diri dan kroninya!
4) Dan ada sebanyak 25 KES lagi dalam tangan Tuanku Sultan!

Tuanku Sultan melantik Datuk Mat Said kerana hanya beliau seorang sahaja yang berani melawan Idris Jusoh dan puak-puaknya. Pak Lah pula pertahankan Idris kerana beliau mempunyai kepentingan dalam projek-projek untuk baham duit rakyat!
“Wahai rakyat sekelian, marilah bangkit menyokong Tuanku Sultan! Baginda bertindak demikian semata-mata untuk mempertahankan hak rakyat! Jangan biarkan Tuanku bersendirian berdepan dengan puak-puak yang selama ini berlagak membela rakyat, padahal merekalah perompak harta rakyat!”

Sunday, March 23, 2008

Cabaran Ulama : Pengajaran Kisah Imam

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Ilmuan Islam sejak zaman berzaman akan berhadap dengan pelbagai cabaran. Tidak semua cabarannya dalam bentuk azab dan hukuman pedih keburukkan, terdapat juga ujian dengan jawatan dan pangkat yang indah-indah serta sedap.
Menurut kebiasaannya, jika pemerintahan itu tidak sepenuhnya melaksanakan Islam. Ulama atau ilmuan Islam yang bersama mereka akan teruji dengan begitu hebat. Ujian antara pangkat, harta atau prinsip Islam.
Dalam tulisan ringkas ini, saya suka berkongsi kisah Imam Abu Hanifah An-Nu'man dan beberapa petikan ujiannya.

Kisah Abu Hanifah & Ujiannya
Pemerintah semasa zaman Imam Abu Hanifah adalah Abu Ja'far Al-Mansur. Secara ringkasnya, Imam Abu Hanifah banyak tidak bersetuju dengan pemerintahan ini, demikian juga pendekatan pemerintahannya. Selain itu, Abu Hanifah juga banyak tidak bersetuju dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama-ulama kerajaan yang dilihatnya lemah, tiada hujjah dan hanya membodek pemerintah sahaja.
Disebabkan kerana itu, Abu Hanifah kerap memberikan fatwa berbeza dari ulama kerajaan, fatwanya kerap berserta hujjah mantap menyebabkan ulama kerajaan panas punggung selain jatuh air muka mereka. Abu Hanifah juga kerap memberikan koreksi pedas dan panas kepada tindak tanduk pemerintah di zamannya. Apa yang lebih memalukan, ulama kerajaan yang berasa tergugat ini mencucuk dan mengadu kepada pemerintah untuk mengambil tindakan kepada Imam Abu Hanifah.
Oleh kerana hal ini berlanjutan, pemerintah dicucuk oleh ulama kerajaan untuk merancang pelbagai perancangan licik agar boleh dijadikan sebab untuk mengambil tindakan ke atas Abu Hanifah.
Abu Hanifah Kritik Fatwa Ulama Kerajaan
Dalam satu kisah yang popular, seorang Qadhi kerajaan iaitu Qadhi Ibn Abi Layla telah menjatuhkan hukum hudud keatas seorang wanita gila kerana memanggil soerang lelaki dengan panggilan "wahai Anak Zina". Jelas ia satu kesalahan dan seolah-olah menuduh ibu bapa lelaki itu berzina tanpa dibawakan empat saksi. Hasilnya, qadhi kerajaan ini menjatuhkan hukuman berikut : -
a) Had qazf (tuduh zina tanpa saksi) ke atas wanita ini dan hukuman dilaksanakan di masjid
b) Dilaksanakan dua jenis hukuman, 1- hukuman qazf kerana menduduh bapa lelaki itu dengan zina, 2- had qazf kerana menuduh ibu lelaki itu berzina.
c) Hukuman sebat dilaksanakan dalam keadaan wanita diarah berdiri di masjid.
Apabila berita ini sampai kepada Abu Hanifah, beliau terus terang mengatakan keputusan itu silap dalam enam tempat seperti berikut :-
a) Hukuman hudud tidak sepatutnya dilaksanakan di masjid.
b) Sepatutnya wanita disebat dalam keadaan duduk. Sebatan ke atas wanita tadi dibuat dalam keadaan wanita itu berdiri, hanya lelaki sahaja yang dihukum secara berdiri.
c) Salah kerana melaksanakan dua had. Yang sepatutnya jika terdapat kes qazf ke atas satu kumpulan sekaligus, hukuman hanyalah sekali sahaja dan bukan berganda.
d) Malah jika diambil hukuman berganda sekalipun, ia tidak boleh dibuat serentak, ia mestilah di pisahkan waktunya agar tidak menjadi amat berat.
e) Wanita gila tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman had qazf ke atasnya.
f) Sewaktu hukuman dijalankan, kedua-dua ibu dan bapa lelaki yang dituduh tidak hadir. Sepatutnya kedua-dua mereka mesti dipanggil untuk menyaksikan hukuman.
Hal ini disampaikan kepada Qadhi Ibn Abi Laila, lalu si qadhi yang lemah ini mengadu kepada Abu Jaffar. Akibatnya Imam Abu Hanifah di'gam' dan tidak dibenarkan memberi fatwa, akibatnya beberapa hari Abu Hanifah tersekat dari menyampaikan fatwanya. ( Al-Manaqib, Abi Al-Bazzazi, 13/351 ; Tarikh Baghdad)
Ujian Hadiah Harta
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, kali ini pemerintah menggunakan strategi lain iaitu dengan menghantar hadiah sepuluh ribu dirham dan seorang hamba wanita kepada Abu Hanifah.
Sebagaimana yang dijangka Abu Hanfiah menolaknya.. penolakan itu dijadikan sebab engkar dan menghina pemerintah kemudiannya. Apabila di tempelak oleh pemerintah akan sebab menolak hadiahnya.
Abu Hanifah menjawab :-
ما وصلني أمير المؤمنين في ماله بشيئ فرددته ولو وصلني بذلك لقبلته , إنما أوصلني أمير المؤمنين من بيت مال المسلمين ولا حق لي في بيت مالهم..
Ertinya : Amir Al-Mukminin (Pemerintah) tidak menghantar kepadaku dari wangnya sendiri maka kerana itu aku menolak, jika ia memberi dari wangnya sudah tentu akan ku terima hadiahnya, sesungguhnya dia menghantar hadiah yang diambil dari duit Baitul Mal, wang milik umat Islam maka tiada sebarang hak untukku mengambilnya..." ( Al-Manaqib, Abu Talib Al-Makki, 1/215)
Setelah apa yang berlaku dan banyak lagi ketidakselesaan disebabkan oleh Abu Hanifah, kali ni Khalifah Abu Jaffar Al-Mansur sudah tidak tahan kemarahannya. Jalan akhir untuk menundukkan Abu Hanifah dan mengawal pendapat serta fatwanya, khalifah telah menawarkan Abu Hanifah jawatan sebagai Ketua Qadhi Negara.
Dengan selambanya Abu Hanifah menolak tawaran itu secara terang-terang di hadapan orang ramai.

Khalifah tersangat marah lalu memanggil Abu Hanifah.
Sebagai jawapan akan sebab penolakkannya, Abu Hanifah memberikan alasan bijak dan penuh dengan strateginya, sebab penolakkan yang sebenarnya adalah kerana tidak mahu bersekongkol dengan kezaliman, tidak mahu menjadi pak turut pemerintah dalam perkara yang batil dan salah, tetapi bagi menjerat khalifah, Abu Hanifah terpaksa berhujjah dengan berkata :-
اتق الله ولا تدع أمانتك إلا من يخاف الله .. لك حاشية يحتاجون إلى من يكرمهم لك فلا أصلح لذلك , فقال : كذبت انك تصلح ,, فقال : قد حكمت على نفسك , كيف يحل لك أن تولي قاضيا على امانتك كذاباً
Ertinya : Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu berikan amanah (ketua Qadhi) ini kecuali kepada mereka yang takutkan Allah. ..engkau punyai ramai pengikut yang mana mereka semua berharap untuk mendapat orang yang boleh memuliakan mereka untukmu (atau memuliakanmu)..dan aku tidak layak untuk itu,
Khalifah menjawab : "kamu sebenarnya layak dan kamu telah berbohong (kerana menafikan kelayakkanmu"
Abu Hanifah : "Lihat..engkau sendiri telah menjatuhkan hukuman ke atas kelayakkanku, bagaimana boleh engkau ingin melantik seorang qadhi untuk menggalas amanah sebagai Qadhi kepada seorang yang engkau sendiri mengakuinya banyak berbohong" ( Tarikh Baghdad, 13/328)
Dengan penolakkan ini, Al-Mansur mendapat sebab kuat untuk menghukum Abu Hanfiah, akhirnya Abu Hanifah disebat sebanyak 10 sebatan sehingga 100 kali..sehingga dikatakan kepada Abu Hanifah "terimalah jawatan itu"
Jawab Abu Hanifah : "Aku tidak layak..sambil berdoa dengan suara perlahan" :
اللهم ابعد عني شرهم بقدرتك
Ertinya : "Ya Allah, jauhkanlah diriku dari kejatahan mereka dengan keagungan kuasamu"
Apabila Abu Hanifah masih enggan menerimanya, ia dipenjara maka diracunnya Abu Hanifah sehinggalah membawa kepada kematiannya.....(Tarikh Baghdad, 13/328)
Menurut Abi Bazzazi, Abu Hanifah dipenjara dan disebat kemudiannya di bebaskan dan dibebaskan selepas itu dengan syarat dilarang memberi sebarang fatwa dan bercampur dengan orang ramai, beliau juga dilarang keluar dari rumah, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 150 H. ( Al-Manaqib, Al-Bazzazi, 2/15)
Cabaran Ulama & Ilmuan Islam Dewasa Ini
Lihatlah betapa tegasnya Abu Hanifah dengan prinsip dan ilmunya, justeru berawaslah dengan fatwa segelintir ilmuan Islam yang sanggup menggadai prinsip kerana pangkat, jawatan dan perniagaan pelik persis cepat kaya mereka.
Secara umum, sebarang jawatan keagamaan yang disandarkan perlantikannya atas sebab politik terdedah kepada bahaya qadhi dalam kisah Abu Hanifah di atas. Tidak terkecuali mereka yang berada dalam pemerintahan Islam yang melaksanakan hudud (macam kisah di atas, iaitu jenis pemerintahan Islam jenis cacat pelaksanaan Islamnya), apatah lagi dalam pemerintahan yang tidak bersandarkan Islam. Bertaqwalah dan berhati-hatilah.
Namun ini tidaklah bermakna semua ulama yang dilantik kerajaan akan gagal dan jatuh tewas dengan harta, tulisan ini hanya nasihat akan fitrah ujian jawatan dan harta. Tidak dinafikan sama sekali terdapat segelintir ulama kerajaan yang menjalankan tugas dengan hebat dan telus. Tidaklah juga wajar kita 'generalize' bahawa jika ulama kerajaan ingin dilihat menjalankan tugas Islamnya, ia mestilah dipecat. Tidak dinafikan ada yang telah jalankan tugasnya dengan baik walaupun tidak atau masih belum di'gam'.

Kerana itu saya memberikan nasihat kepada diri saya dan semua rakan-rakan pejuang Islam dan ilmuan Shariah yang sedang mendapat tempat di mana-mana jawatan sekalipun agar sama-sama kita berpegang dengan prinsip asal dan tidak menjual ilmu atau 'terjual' agama dengan harga semurah dunia ini.
Pangkat dan harta adalah antara ujian terbesar dalam kehidupan ini... ye sudah tentu anak dan keluarga juga adalah suatu ujian.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
21 Mac 2008